Saturday, September 10, 2016

Train to Busan


Sebenarnya saya tak jangka untuk menonton filem ini. Meskipun ada beberapa orang kawan bertanyakan tentang filem dari Korea ini, saya jawab tidak tahu. Bila melihat poster pun saya fikir sebuah filem kena serangan pengganas taupun peperangan. Sehinggalah hari Khamis, saya membaca beberapa komen mengenai filem ini dari facebook. Rata-rata memberikan komen positif. Saya terus menghubungi sahabat saya agar menemani saya menonton filem ini. Sebelum itu pun saya selidik dulu tentang filem ini. Tentang zombie rupanya. saya minat juga filem berkisarkan zombie. saya berharap sangat tidak seperti Zombie Kampung pisang. Harap zombie yang lebih baik, cerdik dan menakutkan.
Bila tonton dari awal, saya mula tertarik. Kisah bapa dan anak perempuannya mungkin biasa. Bila masuk babak tren, saya rasa tidak sabar untuk tahu selanjutnya. Seorang penumpang yang luar biasa masuk ke dalam tren sudah mula mengundang rasa cemas. Seorang lelaki tua yang ketakutan pun sudah buat saya ingin tahu. Seterusnya, jangkitan menjadi zombie sangat cepat dan merebak. Hampir separuh penumpang tren menjadi zombie. Gagal lari dari gerabak, sudah pasti menjadi mangsa zombie.

Seperti biasa ada hero dan pembantu-pembantunya yang cuba menyelamatkan keadaan. Filem ini mengajar nilai murni dan peradaban. Kanak-kanak mengajar bapanya agar tidak mementingkan diri sendiri. Seorang kanak-kanak begitu berbudi bahasa memberi tempat kepada golongan tua. Ada individu yang sanggup mempergunakan orang lain untuk menyelamatkan diri sendiri. Ada sahabat yang tidak sanggup memukul sahabatnya yang sudah menjadi zombie.

Setiap babak filem ini sangat mencemaskan. Luar jangkaan hampir satu bandar dijangkiti virus sehinggakan golongan yang sepatutnya mengawal negara pun dijangkiti virus zombie.

Apa yang boleh saya katakan, zombie ini begitu menakutkan. menggigit  hingga darah memancut keluar.  Zombie mengejar dari atas bumbung, mengejar  mangsa dari segenap arah. Pengakhiran filem ini membuatkan saya rasa sebak. Seorang sahabat kehilangan sahabat, kehilangan kekasih, kehilangan suami, kehilangan kakak, kehilangan ayah dan hilang segala-galanya.

4/5 bintang

No comments: