Friday, January 1, 2021

Selamat Datang angka 40 tahun!

 Assalamualaikum

Selamat tahun baru semua! Alhamdulilah pada tahun baru ini, saya sudah ke angka 40 tahun. Syukur walaupun makin berusia tapi ini rezeki dipanjangkan ke usia ini. Bagi saya tak semua dapat tiba ke angka 40 tahun. Bagi saya 40 tahun ini adalah pra persiapan untuk berehat dan mempersiapkan diri untukNya dan juga bersiap sedia untuk bersara, mungkin! Saya bersara pada usia 60 tahun maka ada lagi 20 tahun untuk saya berkhidmat. Bagi kakitangan awam, bila tiba ke final iaitu pencen, ianya adalah kejayaan. Iya kejayaan dapat berkhidmat kepada kerajaan. Teringat pertama kali mengangkat aku janji pada usia 27 tahun. Insha Allah moga dipermudahkan untuk saya. Bagi yang ada anak, usia 40 tahun ini tumpu pada keluarga terutama anak-anak yang semakin dewasa. Pada usia begini, rata-rata sahabat saya sudah ada anak peringkat usia remaja. Ini cabaran buat mereka. Bak kata mereka pun jaga anak masa bayi dan kanak-kanak lebih senang berbanding remaja yang menuju dewasa.

Pada usia begini, ramai beranggapan saya sudah rasa asam garam kehidupan. Iya benar. Pengalaman belajar dan bekerja di luar Melaka, bertemu dengan pelbagai ragam manusia, kekecewaan, dan sebagainya namun itulah pengalaman yang menjadi guru kita sebenarnya. Dari situ kita belajar mengenal kelemahan dan kelebihan diri kita.

Pada hari pertama 1 Januari 2021, pertemuan sahabat-sahabat lama yang saya kenal sejak sekolah malahan ada yang saya kenal sejak alam kanak-kanak lagi. Mereka ini saya kenal lebih dari 30 tahun. Subhanallah! Persahabatan dalam usia yang panjang juga rezeki buat saya. Dengan mereka ini ada yang pernah berkecil hati, bergaduh, tidak bertemu, terpisah jauh dan sebagainya namun Alhamdulilah bila dapat berkumpul begini, terimbas setiap momen yang lalu. Manakan tidak, pernah bersekolah sama dengan mereka malah sekelas lagi. Sejujurnya sudah saling mengenali sikap dan tabiat mereka semua ini. Miliki sahabat yang baik sebegini adalah anugerah buat saya dan semoga kami saling menyokong antara satu sama lain. Insha Allah.