Thursday, April 9, 2015

Rindu Syurga 2


Bab 2

Dia bersendirian di dalam kafeteria mewah ini. Lagu sentimental yang bergema di ruang kafe ini membuatkan hatinya tersentuh. Sayu dia mendengar. Lagu  Gubahan Rindu Puisi Syahdu dendangan Fauziah Latiff mencarik-carik hatinya. Sambil menanti seseorang dia meneguk secawan  kopi panas bersama sepotong kek coklat. Kek di dalam pinggan comel di hadapannya sudah tinggal separuh. Entah kali ke berapa dia melirik jam tangan berjenama rolex. Dia melepaskan satu keluhan yang agak berat. Sudah lewat 15 minit. Namun dia bersabar. Sabar dengan kerjaya yang memerlukan dia harus peka dengan dunia wanita yang semakin urban kini. Namun di sebalik kehebatan wanita zaman sekarang masih ada wanita yang ketinggalan mengejar impian. Kasihan. Namun itu adalah nasib masing – masing. Kebahagiaan yang dimiliki tidak semestinya selama begitu juga penderitaan tidak juga akan dirasai selamanya.
            “Assalammualaikum, Cik Lily Sarah ke?” satu suara halus memecah lamunan Lily Sarah, lantas dia menoleh ke sisi. Ada seorang wanita sederhana tinggi  dan berambut lurus paras bahu menanggalkan  cermin mata hitam. Wajah itu nampak cengkung dan kusam. Jelas menunjukkan seribu kesakitan dan penderitaan yang ditanggungnya.
            “Waalaikummusalam. Ya, saya Lily Sarah”balas Lily Sarah dengan sedikit terkejut kemudian menganggukkan kepala. Lantas dia mempersilakan wanita di hadapannya duduk .
            “Maafkan saya sebab terlewat. Saya terpaksa hantar anak saya ke rumah ibu saya tadi” wanita itu memberi alasan. Dia juga resah kalau – kalau tidak dapat bertemu dengan Lily Sarah. Ah, wanita di depannya terlalu cantik dan pasti muda dari dirinya. Dia mula tercabar malah terselit rasa cemburu. Lily Sarah dilihatnya sebagai wanita sofistikated.
            Lily Sarah hanya mengangguk faham. Dia tidak mahu bertanya lanjut. Dalam telefon tempoh hari, wanita itu berada dalam keadaan yang sukar. Rumahtangga bergolak membuatkan wanita bernama Farihah ini menjadi mangsa kecurangan suami. Panggilan pertama dari wanita ini juga mengundang pertanyaan kenapa dirinya dijadikan tempat meluahkan perasaan.
            Pelayan yang datang terus mengambil pesanan dari Farihah. Lily Sarah merenung wajah sugul di hadapannya. Dulu melalui Facebook wanita ini cantik dan gebu kini dilihatnya semakin kurus malah seperti tidak bermaya.
            “Puan Farihah okey ke?” tanya Lily Sarah sambil mengangkat kedua – dua kening. Di bertanya begitu bila awajah wanita ini jelas menunjukkan wajah sugul
            “Sa….saya okey. Maaf kalau saya mendesak Cik Lily untuk bertemu tapi saya terpaksa. Sudah lama saya ingin bertemu. Dulu suami saya kata Cik Lily Sarah adalah sumber inspirasinya” kata Farihah dengan suara tersekat – sekat. Kedua – dua matanya merah dan bengkak. Barangkali baru lepas menangis.
            Lily Sarah terkelu seketika. Dia tidak lupa yang dirinya pernah dijadikan sumber inspirasi oleh seorang bintang bola sepak. Itu dulu sekarang tidak lagi. Ketika itu dia baru lagi belajar di sebuah kolej. Bibit – bibit perkenalan bermula sewaktu bintang bola sepak itu berlatih di padang kolejnya.
            “Nadzim sudah banyak berubah. Selepas dia bersara dari bola sepak, hidup kami tak sama seperti dulu. Dia dah tak macam dulu lagi. Tidak seperti yang saya kenal” cerita Farihah tanpa di pinta.
            Lily Sarah hanya membisu namun mahu tahu kisah seterusnya. Apa yang berlaku dengan   Farihah dan suaminya, Nadzim? Suatu ketika dulu dia cemburu dengan Farihah kerana dapat memiliki lelaki yang pernah bergelar pemain bola sepak yang terkenal suatu ketika dulu. Dalam diam dia cuba bersaing untuk memiliki bintang bola sepak itu. Widad sedar bukan dia sahaja yang mahu cuba mencuri hati lelaki itu namun ramai wanita yang mahu mencuba nasib. Farihah wanita yang pernah bergaya sebagai Eksekutif perbankan berjaya memiliki Nadzim. Perkahwinan mereka berdua pernah mendapat liputan hebat dari para wartawan lantaran Nadzim pernah digosipkan dengan beberapa orang artis terkenal dulu. Widad beralah dan mendoakan sahaja kebahagiaan rumahtangga lelaki yang pernah dicintai dalam diam. Ketika itu dia sedar siapa dirinya yang hanya sebatang kara tidak layak berganding dengan lelaki itu.
            Nadzim, adalah cinta pertama juga teman sepermainannya. Saat melangkah kea lam remaja Nadzim mendapat tawaran ke sekolah sukan. Dari situ hubungannya mula menjauh. Mula renggang. Namun rindunya terubat bila melihat perlawanan bola sepak melibatkan Nadzim di kaca televisyen.
            “Lily Sarah, saya ingin tahu adakah suami saya pernah menghubungi awak selepas kami berkahwin?” tanya Farihah dengan pandangan bimbang. Suaranya masih bergetar seperti tadi.
            Lily Sarah sedikit tersentak terus menggelengkan kepala. Namun kebelakangan ini dia acap kali menerima panggilan tanpa nama namun sengaja dia biarkan. Prinsipnya tidak suka menjawab panggilan tanpa nama.
            “Jangan bimbang. Saya sudah melupakan Nadzim. Kami tidak akan saling berhubungan sampai bila – bila. Saya sesekali tidak akan menjilat ludah semula.” tegas Lily Sarah yang cuba mengukir senyuman. Dia mahu meyakinkan wanita dua anak di hadapannya bahawa dia bukan wanita yang mudah menggoda mana – mana lelaki. Malah dia bukan jenis perempuan yang suka melayani mana – mana lelaki. Dia tidak berminat itu semua. Dia ada kerja lain yang harus diselesaikan. 
            “Sejak akhir – akhir ini dia selalu bercerita tentang kamu.  Dia pernah cakap. Dia menyesal kahwin dengan saya. Dia juga menyesal tinggalkan awak” suara Puan Farihah menjadi lebih sendu.
            Lily Sarah terkelu. Terkejut. Ada rasa bersalah. Bukan salah dirinya bila dirinya menjadi model sambilan untuk beberapa buah butik pakaian dan tudung.
            “Saya masih sayangkan dia Lily. Mungkin dia marah sebab saya pernah mendesak dia berhenti main bola sepak. Saya paksa dia bekerja dengan abang saya.Hidupnya tak glamour macam dulu lagi” terang Farihah dengan rasa kesal. Sejujurnya dia mencintai Nadzim bukan kerana kehebatannya di arena bola sepak tetapi dia mencintai lelaki yang bernama Nadzim.
            “Jadi apa masalah puan dengan suami puan?” Lily Sarah mengubah topic. Dia ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku.
            “Baru – baru ini saya terjumpa beberapa resit hotel. Saya lihat dia langsung tak boleh berenggang dengan telefon bimbitnya. Saya syak dia ada perempuan lain”nada suara Farihah menjadi semakin sebak.
            Lily Sarah merenung wajah persis cina di hadapannya. Suatu ketika dulu wanita ini amat bahagia dnegan suaminya malah gambar – gambar bahagia pasangan ini pernah dimuatkan dalam web sosial menggambarkan betapa bahagianya Farihah bersama Nadzim. Tapi sekarang semuanya sudah berubah. Wajah Farihah yang tua beberapa tahun dari Nadzim jelas menunjukkan wajah kecewa yang teramat sangat.
            “Apa yang boleh saya bantu puan?” tanya Lily Sarah perlahan. Sungguh dia tidak mengerti atas alasan apa yang Farihah mahu menemuinya. Adakah mahu berkongsi masalah rumahtangga untuk pembaca majalah GAYA?
            “Lily Sarah, saya percaya dari dulu suami saya masih  mencintai awak” Farihah merenung wajah cantik yang begitu anggun mengenakan pashmina di kepala. Wanita ini ternyata jauh lebih hebat dari dirinya. Ada rasa  cemburu terbit dari hatinya. Namun apakan daya dirinya terasa kerdil bila berhadapan dengan wanita hebat di hadapannya.
            Lily Sarah tersentak. Tergamam seketika bersama mata tidak berkelip. Nadzim masih menyintai dirinya? Gila! Dia tidak lupa apa yang Nadzim cuba lakukan pada diirnya. Dari titik itulah dia hilang keprcayaan kepada Nadzim
            “Kenapa puan kata begitu? Kami sudah lama tidak berhubungan”
            Farihah mengeluh perlahan, “Setiap kali kami bergaduh suami saya akan menyebut nama Lily Sarah. Lebih menyedihkan dia rasa kesal tinggalkan awak” jelas Farihah dengan nada suara keras.
            “Puan salahkan saya atas apa yang berlaku dalam rumahtangga puan?” suara Lily Sarah lembut dan tenang. Dia tidak mahu member api sebaliknya memberikan air. Dia tahu hati Farihah sedang bergejolak.
            “Entahlah. Saya sedar dia mula teringatkan awak bila wajah awak terpampang dalam majalah GAYA dan majalah – majalah lain. Dia anggap saya yang menyebabkan hubungan awak dengan dia terputus” Farihah mengesat air mata di bawah tubir.
            Lily Sarah meneguk liur kemudian mengetap bibir sekuat hati. Adakah dirinya dipersalahkan. Dalam panggilan telefon hari itu, Farihah turut memberitahu yang Nadzim ada hubungan skandal dengan beberapa orang wanita. Takkan hanya dirinya dipersalahkan? Huh, dia sudah menjangkakan pasti Nadzim mula memikat beberapa orang wanita. Di zaman kanak-kanaknya Nadzim begitu galak mengusik kanak-kanak perempuan sehingga zaman remajanya. Bukan dia tidak tahu siapa kekaish pertama dalam hidup Nadzim kalau bukan Suraya, anak jirannya dulu sewaktu tinggal di kawasan rumah flat. Tidak cukup itu Nadzim dan Suraya pernah ditangkap duduk berdua-duaan di belakang blok pada waktu malam.
            “Boleh tak tolong lupakan suami saya. Kalau dia hubungi awak tolong jangan layan” Farihah merayu.
            Lily Sarah merenung wajah Farihah yang sudah basah dengan air mata, “Saya dengan dia tiada apa – apa dan tidak akan berlaku apa – apa antara saya dengan dia. Saya masih ingat lagi yang dia memberitahu saya yang awak adalah wanita terbaik buat dirinya masakan dia sudah lupa itu semua?” Widad seperti menyindir. Sengaja dia berkata sebegitu. Ah, dia pun tidak ingin bertemu dengan Nadzim lagi. sesekali tidak!
            “Tapi sekarang dia tidak mencintai saya lagi. saya tidak tahu apa salah saya. Selama sepuluh tahun, saya sentiasa melakukan yang terbaik buat dia” luah Farihah dengan bahu terhenjut – henjut.
            “Lelaki tidak pernah puas apa yang dimilikinya. Saya belajar satu perkara dari kawan yang turut mengalami keruntuhan rumahtangga. Dia memberitahu saya lelaki yang bercinta tidak akan sama selepas dia berkahwin” tegas suara Lily Sarah memberitahu.
            Farihah tersentak terus merenung wajah Widad, “Ramai yang kata begitu”

            “Saya nasihatkan puan, jadi sahaja isteri yang terbaik kalau tidak sia – sia sahaja puan bersaing dengan ramai perempuan yang mahukan Nadzim. Jadilah wanita yang tabah saat puan melayani karenahnya. Untuk menjadi seorang isteri bukannya senang walaupun saya belum berkahwin. Ranjaunya lagi hebat sebelum berkahwin. Jadi saya nasihatkan puan, jadilah isteri yang taat dan setia. Saya percaya Nadzim akan kembali meninggati puan. Maaf saya ada agenda lain. Kalau ada apa – apa boleh hubungi saya. Apapun saya gembira dapat mengenali puan” selepas bersalaman Lily Sarah terus melangkah dengan bergaya sambil menyarung rayban. Langkahnya laju meninggalkan kafeteria mewah. Dalam hati dia tersenyum puas. Wanita yang memiliki sejati dari lelaki yang dicintai sepenuh hati belum tentu bahagia di dalam rumah tangga.

Rindu Syurga 1

Bab 1



            “Cukuplah tu Lily. Jangan terlebih rajin pulak bila bekerja. Badan kamu perlukan rehat dan otak kamu perlukan ketenangan. Usah paksakan diri kamu tu. Kerja 8 jam pun dah memandai. Cukuplah tu!” tegur  Puan Linda yang muncul tiba – tiba di muka pintu. Sempat mengukir senyuman.
            Lily Sarah mendongak dengan muka terkejut. Dahinya berkerut. Lily Sarah tidak sedar waktu bila Puan Linda berada di hadapan pintu biliknya yang terbuka sedikit. Kemudian Lily Sarah mengerling jam di dinding. Sudah masuk waktu maghrib. Widad akan bersolat di sini sebelum pulang ke rumah.
            Lily Sarah tersenyum nipis. Kepenatan yang dialami membuatkan dia tidak berdaya untuk memberikan senyuman manis. Apa yang dia tahu, dia harus menyiapkan kerja – kerja penulisan untuk majalan GAYA bulan depan. Majalah GAYA semakin mendapat tempat di hati pembaca yang setia. Pelbagai program dijalankan untuk menarik perhatian pembaca sementelahan banyak majalah – majalah baru muncul di pasaran. Sebagai majalah antarabangsa dalam versi bahasa Melayu pelbagai kehendak pembaca harus diikuti. Untuk bulan seterusnya diia akan menampilkan tema hijab dan tambahan beberapa muka surat sebagai tarikan pembaca.
            “Kamu pergilah dating, jumpa boyfriend ke, Tonton wayang ke, Beli belah ke” cadang Puan Linda tersenyum nakal. Tangan kanannya memegang satu cawan mug berisi milo panas yang sudah tinggal separuh. Sewaktu keluar dari pantry dia melihat bilik Lily masih terang. Dia kagum sungguh dengan semangat kerja Lily Sarah. Tekun dan  serius bila memberi hujah dan pendapat.
            “Boyfriend? Saya masih single. Nobody” jawab Lily Sarah dengan senyuman kelat.  Dia sudah biasanya dengan pertanyaan tentang dirinya yang masih bersendirian. Rata – rata ramai tidak percaya yang dia masih bersendirian. Dia lebih senang begini. Dia bebas melakukan apa sahaja yang dia mahu.
Lily Sarah sudah lali dengan soalan berkaitan kahwin ataupun kekasih. Telinganya sudah  bebal. Mahu tak mahu dia memberikan jawapan yang jujur namun ada yang masih tidak mempercayai yang dia tiada kekasih. Dia lebih senang begini. Bercinta dengan kerjaya adalah terbaik malah memberi kepuasan dalam dirinya. Berkawan dengan sesiapa pun dia tidak rugi apa – apa.
            Dahi Puan Linda berkerut. Sukar percaya yang gadis seayu Lily Sarah masih lagi bersendirian. Gadis bertudung di hadapannya begitu manis dan bergaya tatkala mengenakan baju kurung ataupun kebaya. Orangnya bersahaja namun kaya dengan senyuman. Lily Sarah yang dikenalinya tidak banyak cakap tetapi lebih banyak menurut arahannya. Dia cukup senang bekerja dengan  gadis yang baru dua tahun berkhidmat di majalah GAYA. Dia tahu siapa Lily Sarah di sebalik majalah Blue Pink. Rahsia itu harus disimpan, itu permintaan Lily Sarah bila pertama kali bertemu. Lily Sarah hanya mahu meneruskan legasi milik keluarganya.
            “Boleh percaya ke ni?” Puan Linda cuba mahu mencungkil gadis yang gemar berahsia ini.
            Lily Sarah memberi senyuman yang paling manis. Walaupun wajahnya nampak keletihan dia tetap bersemangat memberikan komitmen terhadap kerjaya yang menjadi cita – citanya sejak sekolah lagi.
            “ Terpulang!!” Lily Sarah menjungkitkan bahu sambil tersenyum penuh makna.
            Puan Linda terus mengambil tempat di hadapan meja tulis Lily Sarah. Dia kagum dengan gaya penulisan Widad yang memberi inspirasi kepada wanita di luar sana agar terus meneruskan hidup selepas gagal dalam percintaan dan rumahtangga.
            “Lily adakah rencana – rencana yang kamu tulis itu berkaitan dengan hidup kamu?” tanya Puan Linda ingin tahu.
            Penulisan Lily Sarah terhenti seraya merenung wajah Ketua Editor dengan wajah tenang. Dia harus menenangkan diri tanpa menunjukkan reaksi gelabah. Dia akui bahawa sebahagian rencana yang ditulis pernah berlaku dalam hidupnya. Pengalaman dititip dijadikan pengajaran buat pembaca.
            Lily Sarah menarik nafas pendek. Wajah Puan Linda ditatap bersama senyuman yang dirasakan dibuat – buat. Pen ditangan kanan dilepaskan perlahan.
            “Tanpa pengalaman, saya tak mungkin berada di sini. Pengalaman adalah guru terbaik buat saya”jawab Lily Sarah dengan senyuman puas.
            “Pengalaman cinta?” teka Puan Linda
            Lily Sarah diam. Tekaan itu memang tepat. Kerana pengalaman lalu dia mengambil keputusan untuk bersendirian sehingga usia masuk 31 tahun Dia masih belum dimiliki dan memiliki. Dia senang hidup begini. Bukan tidak percaya apada cinta atau perkahwinan tapi barangkali ini adalah takdir hidupnya. Mungkin jodoh belum sampai. Mungkin juga tidak. Barangkali jodohnya di syurga.
            “Mustahil wanita secantik kamu ni masih tidak punya sesiapa. Kamu tahukan Nora yang hitam dan tidak berapa lawa tu bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi” Puan Linda memperlahankan suara. Sempat matanya mengerling kiri kanan.
            Lily Sarah hanya tersenyum. Dia tahu sikap bossnya yang suka memprovokasikan orang lain. Dia cukup sebal dengan perangai cerewet Puan Linda yang ada masa datang angin secara tiba – tiba. Ada masa orang yang tidak bersalah juga menjadi mangsa amarahnya. Widad masih mampu bertahan dengan karenah ketuanya ini.
            “Puan, jodoh dan cinta tidak kenal  manusia. Cinta itu buta. Begitu juga dengan jodoh.  Mungkin nasib Nora lebih baik dari saya” ujar Lily Sarah tenang.
Kolam hatinya juga terusik bila seorang wanita yang tidak berapa cantik bakal mendirikan rumahtangga. Dia akui Nora ada kelebihan lain iaitu peramah dan suka berlawak. Barangkali itu tarikannya terhadap kaum Adam. Sedangkan dia pendiam dan kadang kala serius sehingga dianggap sombong.
            Puan Linda pula seeperti memikirkan sesuatu. Barangkali rasa bersalah mengata Nora sebegitu. Widad juga mempunyai hubungan baik dengan wartawan itu yang rajin mencari bahan.
            “Saya hendak tanya kamu, pernah tak kamu jatuh cinta?”tanya Puan Linda dengan muka serius.
            Lily Sarah  terdiam. Soalan yang membuatkan dia tersentak sehingga terbayang – bayang satu demi satu wajah yang pernah hadir dalam hidupnya. Wajah – wajah itu hampir dilupai tatkala dia bertungkus lumus menyiapkan setiap rencana. Namun satu wajah membuatkan dia menjadi seorang perindu setelah 10 tahun dia pernah meninggalkan bumi Malaysia.
            “Jujurnya, saya pernah alami namun setiap cinta saya tidak pernah kesampaian” jawab Lily Sarah tenang. Setenang wajahnya yang ayu. Dia menahan perasaan di hati agar dia tidak menangis lagi. cukuplah dengan cinta tragis yang melanda dirinya. Setiap janji dan kata manis dari seseorang bergelar lelaki sudah menjadi debu yang ditiup angin.
            “Kamu serik?” Puan Linda masih mahu  mencungkil rahsia dari wanita yang dianggap perahsia. Tidak banyak kisah wanita ini diketahuinya. Selain itu gadis ayu di hadapannya gemar menyendiri namun pandai membawa diri dan bergaul.
            Lily Sarah tersneyum lagi. soalan itu senang di jawab dengan anggukan sekali. Kemudian Widad melepaskan keluhan kecil, “Cinta itu sakit. Perit. Saya tidak pernah temui cinta sejati melainkanNYA”ujar Lily Sarah yakin.
            “Lily, kamu mengalah? Kamu harus mencari cinta. Kamu berhak bahagia. Kamu berhak memiliki lelaki mengasihi kamu” tegas puan Linda. Dari raut wajah  gadis itu pun dia sudah dapat merasakan yang Lily Sarah tidak mahu lagi menerima mana – mana cinta dari lelaki. Barangkali alami peristiwa yang menyedihkan sehingga menutup hati untuk mana-mana lelaki.
            Lily Sarah mengeluh lagi. kali ini lebih berat. Dia mula tidak keruan bila ditanya bertubi – tubi tentang lelaki dan cinta. Padanya itu semua sudah tutup dalam kamus hidupnya. Tiada lagi untuk dirinya.
            “Kamu marah?” bila Puan Linda dapat melihat perubahan pada wajah lembut itu.
 Lily Sarah Wanita manis dan bersahaja orangnya. Lembut dan mesra tetapi sayang seeprti tidak percaya pada cinta lagi. dia dapat melihat beberapa orang lelaki di Pink Brain ada yang cuba mahu mengisi hati Lily Sarah yang kosong itu namun gadis ini lebih suka mengelak tak pun memberikan pelbagai alasan. Kenapa begitu ego dirimu Lily Sarah?
            “Puan, saya mahu balik dulu. Ada beberapa buah rencana sudah saya siapkan” Lily Sarah menyusun beberapa buah fail. Dia sebenarnya sudah tidak selesa sekarang. Ada ketika dia tidak suka berada dalam tekanan bila memberi tumpuan pada penulisannya. Dia tidak sabar – sabar mahu pulang. Di fikirannya sudah terbayang katil yang seakan sudah melambai – lambai kepadanya. Perutnya masih kenyang bila diisi dengan  mi goreng sebentar tadi.
            Lily Sarah mencapi beg tote yang diletaknya dalam laci. Dia sudah tergesa – gesa mahu pulang.
            “Lily, esok jangan lupa mesyuarat kita dengan pengiklan” Puan Linda meninggatkan.

            “Ya  Puan. Saya tak lupa. Saya pulang dulu. Assalammualaikum!” Lily Sarah terus melangkah keluar dengan langkah yang laju.